Tuesday 8 April 2014



KENAPA PERLU KEHARMONIAN DAN KESTABILAN????


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem

MIRI: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem tidak sanggup melihat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum di negeri ini terhakis kerana pengaruh negatif dari luar.

Adenan berkata, walaupun Sarawak terdiri daripada masyarakat berbilang kaum seperti orang Iban, Orang Ulu, Cina, Melayu, Bidayuh dan Melanau dengan pelbagai latar belakang agama seperti Islam, Kristian, Buddha dan sebagainya namun mereka tetap hidup harmoni dan saling hormat-menghormati.

“Justeru, rakyat di negeri ini tidak harus mengambil mudah betapa pentingnya keharmonian dan kestabilan. Jangan tunggu sehingga apa yang dinikmati hari ini (keharmonian) terhakis barulah kita menyesal. Kita harus menghargai dan berusaha untuk menjaga perpaduan,” katanya pada majlis makan malam sempena lawatannya ke Miri yang turut dihadiri kira-kira 1,000 tetamu.

“Sarawak cukup besar untuk semua rakyatnya dan walaupun kita berbilang kaum dan agama namun rakyat kita hidup dalam aman damai,” jelasnya.

Beliau menegaskan, peristiwa hitam dalam sejarah Malaysia iaitu rusuhan kaum berlaku pada 13 Mei 1969 tidak berlaku di Sarawak kerana penduduknya di sini saling bertoleransi dan bekerjasama.

Beliau turut menggesa rakyat betapanya pentingnya bersikap bertolak ansur dan saling memahami untuk memelihara perpaduan di negeri ini.

“Saya berkata demikian bukan kerana saya Barisan Nasional (BN). Jika kita melihat sejarah Malaya dan Malaysia, kita berupaya menikmati kemakmuran kerana masyarakat berbilang kaum di negeri ini sudah menyiapkan diri untuk bertolak-ansur dengan orang lain,” ujarnya.

Katanya, rakyat perlu mengekalkan semangat tradisi iaitu bersatu hati dan mengetepikan pihak yang gemar menimbulkan isu perkauman.

“Sebagai Ketua Menteri saya bertanggungjawab melindungi Sarawak daripada anasir yang tidak diingini dan golongan yang gemar membangkitkan isu perkauman harus ditolak dari negeri ini.

“Sekiranya mereka mahu mempersoal hak kita terhadap ekonomi, imigresen, perkara ini sudah lama dipersetujui pada 1962,” katanya.

Adenan turut mengingatkan bahawa Sarawak terdiri pelbagai kaum tidak pernah menyertai Malaysia sebaliknya bersama-sama menubuhkan Malaysia pada 1960.

Mengenai kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian, membuktikan kerjasama erat semua parti komponen terdiri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Ini sekali gus menzahirkan pengundi Cina di Balingian sudah berubah dan berdasarkan keputusan ini, kita yakin BN dapat memenangi kembali undi masyarakat Cina. Saya tidak ingin melihat semua kaum Cina berpihak pada parti pembangkang manakala Bumiputera pula di sebelah kerajaan,” katanya.

Setakat ini, daripada 55 ahli BN, hanya dua wakil rakyat Cina iaitu Datuk Lee Kim Shin dan Dato Sri Wong Soon Koh manakala 14 daripada 16 ahli parti pembangkang adalah kaum Cina.

“Majoriti besar kaum Cina berpihak pada pembangkang manakala majoriti besar di pihak kerajaan. Ini bukan perkembangan yang sihat. Kita telah lama hidup aman damai dan harmoni,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Adenan memberitahu beliau dalam proses menyelesaikan masalah dalaman SUPP dan yakin masalah itu dapat diselesaikan.

Terdahulu, Lee dalam ucapannya menggesa warga Miri terus bekerjasama dan memberi sokongan penuh terhadap Ketua Menteri baharu untuk mengekalkan kesinambungan pembangunan di sini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan bekas Presiden SUPP, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.















 

 

Wednesday 19 March 2014

Apai Cool The Patriot: PRK DUN BALINGIAN : BN VS PKR

Apai Cool The Patriot: PRK DUN BALINGIAN : BN VS PKR: Mukah, Jentera Pilihan raya BN perlu turun padang dan bergerak ke pelusuk dan ceruk Kampung-kampung serta rumah-rumah panjang untuk memba...

Monday 17 March 2014

PRK DUN BALINGIAN : 1 LAWAN 1

MUKAH: Sebaik saja proses penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah ditutup pada jam 10 pagi tadi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Nama kedua-dua calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Balingian, En. Shafri Saili,  BN diwakili bekas Pegawai Daerah Dalat, Yussibnosh Balo 47, dicadang oleh Ardiman Matan @ Hennry dan disokong Fauziah Adeni manakala PKR, di wakili seorang ahli perniagaan, Abdul Jalil Bujang 55, dicadang oleh Matex Geram @ Matex Maxi dan di sokong oleh Basri Bahari.

Pilihan Raya Kecil DUN Balingian akan diadakan pada 29 Mac ini ekoran perletakan jawatan penyandangnya iaitu bekas Ketua Menteri Sarawak merangkap Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

DUN Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar, dengan pecahan seperti berikut :

Melanau/Melayu        -  7,705  ( 57.65 % )
Iban                             -  3,875  ( 28.99 % )
Cina                             -  1,683  ( 12.59 % )
Orang Ulu                    -  29        ( 0.22 % )
Bidayuh                       -  19        ( 0.14 % )
Lain – lain                   -  55        ( 0.41 % )


Proses penamaan calon berlangsung tenang tanpa sebarang insiden yang tidak di ingini, memperlihatkan kematangan berpolitik di Sarawak.



Thursday 13 March 2014

Apai Cool The Patriot: MENCARI #MH370

Apai Cool The Patriot: MENCARI #MH370: Masuk hari ke 6 kehilangan Pesawat #MH370, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran bagi mengesan kehilangan penerbangan MH370 Ma...

Monday 10 March 2014

JANGAN BUAT KENYATAAN, TINDAKAN PROVOKASI - AGONG

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, menyeru semua pihak agar mengelak daripada membuat sebarang kenyataan atau tindakan bersifat provokasi dan menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Seri Paduka bertitah, tindakan tegas mesti diambil ke atas anasir jahat yang cuba menyebarkan pemikiran dan tindak-tanduk yang bertujuan meruntuhkan nilai-nilai serta keluhuran Perlembagaan negara.

"Semua pihak perlu sedar akan peri pentingnya perpaduan dengan kembali kepada landasan sebenar asas-asas penubuhan negara ini seperti yang dihasratkan pemimpin terdahulu.

"Ingatlah, apabila terurainya perpaduan, negara akan menuju kehancuran. Justeru, kita hendaklah mengukuhkan perpaduan dengan memupuk perasaan hormat menghormati dan kesederhanaan dalam menjalani kehidupan," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di sini hari ini.

Seri Paduka bertitah dalam pada itu, kemajuan teknologi tanpa sempadan hendaklah digunakan dengan penuh tanggungjawab untuk memuliakan lagi peradaban manusia, bukan menghancurkannya.

"Sesebuah negara akan pantas menjadi maju apabila segala urusan perniagaan dan pentadbiran negara bersandar kepada prinsip akhlak, beretika dan mengamalkan integriti yang tinggi," titah Tuanku Abdul Halim.

Mengenai kecelaruan pemikiran ummah dan ancaman akidah, misalnya fahaman pluralisme serta penyebaran ajaran sesat, Yang di-Pertuan Agong bertitah pihak berkuasa agama perlu menangani masalah itu selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di kalangan umat Islam di negara ini, demi mengelakkan perpecahan ummah.
Titah Seri Paduka, generasi muda dan belia hari ini adalah cermin wajah negara pada masa hadapan dan adalah aset penting dalam mencorakkan pembangunan serta kemakmuran negara.

Tuanku Abdul Halim berharap golongan belia akan terus didampingi melalui program pembangunan yang inklusif dan komprehensif berteraskan pendekatan daripada belia untuk belia, yang meliputi aspek kepimpinan, kemahiran, keusahawanan dan kesukarelawanan.

"Golongan belia juga perlu ditanamkan semangat patriotik dan dipupuk jiwanya agar cintakan negara," titah baginda.

Justeru, Seri Paduka menyeru semua rakyat jelata terutamanya golongan belia agar menggunakan segala ruang dan peluang yang ada dengan bijaksana serta bersama-sama berpadu tenaga melonjakkan negara ini menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.

"Segala cabaran dan rintangan pasti dapat diatasi. Beta yakin melalui sokongan padu semua pihak, kerajaan di bawah pimpinan Mamanda Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan barisan anggota pentadbiran mampu merealisasikan segala perancangan yang direncanakan," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga menyeru agar usaha membasmi jenayah termasuk melalui penambahbaikan undang-undang dan peningkatan kecekapan dalam penguatkuasaan terus dipertingkat.

"Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang menyumbang ke arah keamanan, pembangunan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat," titah baginda.

Sumber dipetik daripada - BERNAMA

Thursday 6 March 2014



Zulhaidah Suboh
PERHIMPUNAN BANTAHAN TYT NEGERI SARAWAK???

Tepat jam 9.00 pagi, sekumpulan penyokong Pakatan Pembangkang terutama PKR telah mengadakan perhimpunan aman di hadapan Mahkamah Lama Kuching, berdepan Kuching Waterfront bagi tujuan membantah pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagi TYT Negeri Sarawak yang baharu.

Lebih ‘mengejutkan’ tetamu VIP yang akan hadir ialah Timbalan AMK Sarawak merangkap Setiausaha PKR Miri, Zulhaidah Suboh.

Perserta himpunan itu dikehendaki memakai baju t-shirt berwarna hitam dan akan mengibarkan bendera separuh tiang.

Menurut mesej yang diterima, himpunan itu dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Borneo Malaysia (BRIMAS). Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif BRIMAS, Mark Bujang organisasi itu bukan penganjur seperti yang didakwa.

Diketahui BRIMAS sering terlibat dalam perhimpunan yang melibatkan pemimpin Pakatan Pembangkang Sarawak.

Himpunan itu bukan yang pertama bahkan sudah banyak kali PKR mahupun DAP mengadakan pelbagai macam bentuk tindakan bagi menghalang pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai TYT Negeri Sarawak.

Tetapi pada hakikatnya pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai TYT Negeri Sarawak dibuat berasaskan prosedur dan ketetapan seperti mana yang dinyatakan dalam Perlembagaan.

Bantahan yang dikemukakan itu hanya ‘suara’ minoriti yang terdiri dari golongan orang yang kecewa berbanding suara majoriti yang bersetuju melantik Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai TYT Negeri Sarawak.

Sumber dipetik daripada - Utusan Borneo