Monday, 10 March 2014

JANGAN BUAT KENYATAAN, TINDAKAN PROVOKASI - AGONG

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, menyeru semua pihak agar mengelak daripada membuat sebarang kenyataan atau tindakan bersifat provokasi dan menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Seri Paduka bertitah, tindakan tegas mesti diambil ke atas anasir jahat yang cuba menyebarkan pemikiran dan tindak-tanduk yang bertujuan meruntuhkan nilai-nilai serta keluhuran Perlembagaan negara.

"Semua pihak perlu sedar akan peri pentingnya perpaduan dengan kembali kepada landasan sebenar asas-asas penubuhan negara ini seperti yang dihasratkan pemimpin terdahulu.

"Ingatlah, apabila terurainya perpaduan, negara akan menuju kehancuran. Justeru, kita hendaklah mengukuhkan perpaduan dengan memupuk perasaan hormat menghormati dan kesederhanaan dalam menjalani kehidupan," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di sini hari ini.

Seri Paduka bertitah dalam pada itu, kemajuan teknologi tanpa sempadan hendaklah digunakan dengan penuh tanggungjawab untuk memuliakan lagi peradaban manusia, bukan menghancurkannya.

"Sesebuah negara akan pantas menjadi maju apabila segala urusan perniagaan dan pentadbiran negara bersandar kepada prinsip akhlak, beretika dan mengamalkan integriti yang tinggi," titah Tuanku Abdul Halim.

Mengenai kecelaruan pemikiran ummah dan ancaman akidah, misalnya fahaman pluralisme serta penyebaran ajaran sesat, Yang di-Pertuan Agong bertitah pihak berkuasa agama perlu menangani masalah itu selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di kalangan umat Islam di negara ini, demi mengelakkan perpecahan ummah.
Titah Seri Paduka, generasi muda dan belia hari ini adalah cermin wajah negara pada masa hadapan dan adalah aset penting dalam mencorakkan pembangunan serta kemakmuran negara.

Tuanku Abdul Halim berharap golongan belia akan terus didampingi melalui program pembangunan yang inklusif dan komprehensif berteraskan pendekatan daripada belia untuk belia, yang meliputi aspek kepimpinan, kemahiran, keusahawanan dan kesukarelawanan.

"Golongan belia juga perlu ditanamkan semangat patriotik dan dipupuk jiwanya agar cintakan negara," titah baginda.

Justeru, Seri Paduka menyeru semua rakyat jelata terutamanya golongan belia agar menggunakan segala ruang dan peluang yang ada dengan bijaksana serta bersama-sama berpadu tenaga melonjakkan negara ini menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.

"Segala cabaran dan rintangan pasti dapat diatasi. Beta yakin melalui sokongan padu semua pihak, kerajaan di bawah pimpinan Mamanda Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan barisan anggota pentadbiran mampu merealisasikan segala perancangan yang direncanakan," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga menyeru agar usaha membasmi jenayah termasuk melalui penambahbaikan undang-undang dan peningkatan kecekapan dalam penguatkuasaan terus dipertingkat.

"Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang menyumbang ke arah keamanan, pembangunan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat," titah baginda.

Sumber dipetik daripada - BERNAMA

No comments:

Post a Comment