Tuesday 8 April 2014



KENAPA PERLU KEHARMONIAN DAN KESTABILAN????


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem

MIRI: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem tidak sanggup melihat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum di negeri ini terhakis kerana pengaruh negatif dari luar.

Adenan berkata, walaupun Sarawak terdiri daripada masyarakat berbilang kaum seperti orang Iban, Orang Ulu, Cina, Melayu, Bidayuh dan Melanau dengan pelbagai latar belakang agama seperti Islam, Kristian, Buddha dan sebagainya namun mereka tetap hidup harmoni dan saling hormat-menghormati.

“Justeru, rakyat di negeri ini tidak harus mengambil mudah betapa pentingnya keharmonian dan kestabilan. Jangan tunggu sehingga apa yang dinikmati hari ini (keharmonian) terhakis barulah kita menyesal. Kita harus menghargai dan berusaha untuk menjaga perpaduan,” katanya pada majlis makan malam sempena lawatannya ke Miri yang turut dihadiri kira-kira 1,000 tetamu.

“Sarawak cukup besar untuk semua rakyatnya dan walaupun kita berbilang kaum dan agama namun rakyat kita hidup dalam aman damai,” jelasnya.

Beliau menegaskan, peristiwa hitam dalam sejarah Malaysia iaitu rusuhan kaum berlaku pada 13 Mei 1969 tidak berlaku di Sarawak kerana penduduknya di sini saling bertoleransi dan bekerjasama.

Beliau turut menggesa rakyat betapanya pentingnya bersikap bertolak ansur dan saling memahami untuk memelihara perpaduan di negeri ini.

“Saya berkata demikian bukan kerana saya Barisan Nasional (BN). Jika kita melihat sejarah Malaya dan Malaysia, kita berupaya menikmati kemakmuran kerana masyarakat berbilang kaum di negeri ini sudah menyiapkan diri untuk bertolak-ansur dengan orang lain,” ujarnya.

Katanya, rakyat perlu mengekalkan semangat tradisi iaitu bersatu hati dan mengetepikan pihak yang gemar menimbulkan isu perkauman.

“Sebagai Ketua Menteri saya bertanggungjawab melindungi Sarawak daripada anasir yang tidak diingini dan golongan yang gemar membangkitkan isu perkauman harus ditolak dari negeri ini.

“Sekiranya mereka mahu mempersoal hak kita terhadap ekonomi, imigresen, perkara ini sudah lama dipersetujui pada 1962,” katanya.

Adenan turut mengingatkan bahawa Sarawak terdiri pelbagai kaum tidak pernah menyertai Malaysia sebaliknya bersama-sama menubuhkan Malaysia pada 1960.

Mengenai kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian, membuktikan kerjasama erat semua parti komponen terdiri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Ini sekali gus menzahirkan pengundi Cina di Balingian sudah berubah dan berdasarkan keputusan ini, kita yakin BN dapat memenangi kembali undi masyarakat Cina. Saya tidak ingin melihat semua kaum Cina berpihak pada parti pembangkang manakala Bumiputera pula di sebelah kerajaan,” katanya.

Setakat ini, daripada 55 ahli BN, hanya dua wakil rakyat Cina iaitu Datuk Lee Kim Shin dan Dato Sri Wong Soon Koh manakala 14 daripada 16 ahli parti pembangkang adalah kaum Cina.

“Majoriti besar kaum Cina berpihak pada pembangkang manakala majoriti besar di pihak kerajaan. Ini bukan perkembangan yang sihat. Kita telah lama hidup aman damai dan harmoni,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Adenan memberitahu beliau dalam proses menyelesaikan masalah dalaman SUPP dan yakin masalah itu dapat diselesaikan.

Terdahulu, Lee dalam ucapannya menggesa warga Miri terus bekerjasama dan memberi sokongan penuh terhadap Ketua Menteri baharu untuk mengekalkan kesinambungan pembangunan di sini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan bekas Presiden SUPP, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.















 

 

No comments:

Post a Comment